Cerita Moral



1 ANJING DENGAN BANGAU

Bangau berkawan baik dengan anjing. Setiap hari, mereka bermain bersama-sama.Pada suatu hari, bangau mengajak anjing pergi ke rumahnya. Bangau menghidangkan makanan. Tetapi anjing tidak dapat makan.

Bekas itu bermuncung panjang. Anjing tidak dapat mengambil makanan di dalam bekas itu. Bangau boleh makan kerana paruhnya panjang. Bangau makan sehingga kenyang. Anjing pulang dengan perut lapar.

Pada hari yang lain, anjing mengajak bangau pergi ke rumahnya pula. Anjing menghidangkan makanan. Tetapi bangau tidak dapat makan.
Bekas itu leper. Bangau tidak pandai mengambil makanan di dalam bekas leper.Anjing makan sehingga kenyang. Bangau pulang dengan perut lapar.


NILAI MURNI
Setiap perbuatan buruk pasti akan menerima balasan buruk.
Oleh itu, kita mestilah sentiasa berbuat baik.


2 SANG BANGAU MENIPU IKAN.

Di tepi hutan terdapat sebuah kolam. Airnya sudah hampir kering. Semua ikan berasa susah hati.Pada suatu hari, datang seekor burung bangau. Bangau berpura-pura mahu menolong ikan.

      "Kamu semua boleh berpindah ke kolam lain. Kolam itu tidak kering," kata bangau.Semua ikan bersetuju. Mereka sangat gembira.

Bangau menolong ikan berpindah dari situ. Seekor demi seekor ikan itu dibawanya pergi. Tetapi semua ikan itu dimakannya.

       Kemudian tibalah giliran ketam untuk berpindah. Ketam itu dibawa pergi oleh bangau.

Terkejutlah ketam apabila melihat tulang ikan. Ketam tahu bangau itu penipu.

Bangau mahu makan ketam pula. Tetapi ketam segera menyepit leher bangau. Matilah bangau itu.

NILAI MURNI
      
Jangan sekali-kali berbuat jahat. Setiap perbuatan jahat pasti akan menerima balasan buruk daripada Tuhan.
Sang Merak dengan Sang Arnab

Arnab sangat risau kerana ekornya pendek. Arnab ingin benar ekornya panjang dan cantik.Arnab mahu ekornya seperti ekor merak. Ekor merak panjang dan cantik. Semua manusia memuji kecantikan ekor merak.

Pada suatu hari, arnab berjumpa dengan merak. Arnab memuji kecantikan merak. Merak berasa bangga kerana dapat pujian.Merak mengembangkan ekornya. Ekornya sangat cantik. Arnab terus memuji kecantikan merak.

Namun, arnab memuji merak kerana ada tujuan lain. Arnab ingin meminjam ekor merak. Merak bersetuju meminjamkan ekornya kepada arnab.
Merak membuat pertukaran ekor dengan arnab. Arnab memakai ekor merak. Merak memakai ekor arnab.

Alangkah gembiranya arnab apabila mendapat ekor merak. Arnab berlari ke sana dan ke mari. Arnab menari-menari di tengah padang.Merak pula memakai ekor arnab. Alangkah terperanjatnya merak kerana mendapati dirinya berekor kontot.

Pang! Tiba-tiba terdengar bunyi senapang. Arnab termengah-mengah lari masuk ke dalam hutan. Arnab pergi berjumpa merak
Arnab menceritakan bahawa ia ditembak oleh pemburu. Nasibnya baik kerana tidak terkena peluru pemburu.

Arnab minta  semula ekornya. Mereka bertukar ekor masing-masing.Arnab tidak mahu memakai ekor merak lagi. 

"Biarlah ekorku pendek dan tidak cantik, asalkan diriku selamat," fikir arnab.

NILAI MURNI :
      
Kita haruslah bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita.
Setiap kurniaan Tuhan pastilah ada kebaikannya untuk diri kita.

3 KISAH  JARI

Satu hari, dikisahkan bahawa kelima-lima jari di sebelah tangan Ali boleh bercakap.

Ibu jari pun memulakan cerita: Antara kita semua, saya lah yang paling hebat kerana orang lain akan gembira bila saya berdiri, mereka tahu mereka sedang dipuji.

Jari telunjuk pula mencelah: Eh, mana ada. Saya lebih hebat kerana apabila saya berdiri, semua orang akan patuh. Mudahnya memberi arahan jika saya berdiri.

Tiba giliran jari hantu: Hei, sebenarnya saya lah yang paling hebat sebab saya paling tinggi antara kita semua.

Kemudian jari manis berkata: Kamu semua ni perasan lah. Saya yang paling hebat dan terkenal, sebab cincin yang mahal selalu disarungkan pada saya.

Setelah jari manis selesai berkata, ke-empat-empat jari itu melihat jari kelingking dan menunggu apakah yang akan diberitahunya. Namun, jari kelingking tertunduk dan berkata: Antara kita semua, sayalah yang paling tidak penting. Sudahlah rendah, tiada apa-apa kepentingan lagi. Jari-jari yang lain ketawa.

Ditakdirkan, jari Ali patah kerana dipijak rakannya semasa bermain bolasepak. Akibatnya, Ali menjadi susah untuk memegang pensil, makan, dan melakukan kerja yang menggunakan tangan. Setelah itu baru jari-jari yang lain sedar, bahawa mereka semua tidaklah sehebat mana jika tidak bersatu.

NILAI MURNI :
      
1. Jangan menghina orang lain.
2. Dalam sesebuah kelas, tidak ada istilah pelajar yang lembap dan tidak mampu belajar.
3. Bersatu membawa berkat dan kekuatan.
4. Semua murid adalah sama penting dalam sesebuah kelas.

4 PAKU DI BATANG  KAYU

Tersebutlah kisah di satu ketika, ada seorang lelaki yang sangat cepat dan selalu marah. Kadang-kadang marah hanya sebab masalah kecil, tapi beliau selalu tidak dapat menahan kemarahan beliau. Kalau dia tersepak batu pun, habislah batu tersebut disumpah seranahnya.

Si bapa lelaki ini telah dapat memikirkan cara untuk anaknya mengurangkan sifat marah. Si bapa telah memberikan anaknya yang pemarah itu sekotak paku, tukul dan batang kayu. Kata bapanya,"Anakku, setiap kali kau marah, benamkanlah sebatang paku ke dalam batang kayu ini." Si anak patuh dengan arahan bapanya dan dia membenamkan sebatang paku setiap kali beliau marah. Untuk hari pertama sahaja, beliau telah membenamkan hampir 30 batang paku. Pada hari kedua, si anak telah mengurangkan marahnya di mana bilang paku yang telah dibenamkan berkurang kepada 27 batang, dan terus berkurang pada hari-hari seterusnya sehingga tiada lagi paku yang dibenamkan pada beberapa minggu kemudiannya. Si anak kini telah berubah, beliau tidak lagi cepat marah.

Melihat perubahan anaknya, si bapa pun berkata kepada anaknya, "Syukurlah, kau bukan lagi pemarah seperti dahulu. Sekarang, setiap kali kau menahan perasaan marah, cabutlah sebatang paku daripada batang kayu tersebut." Maka si anak mencabut setiap paku yang ada setiap kali beliau menahan marah sehingga tiada lagi paku yang ada di batang kayu tersebut.

Si anak yang gembira pun menunjukkan batang kayu yang telah bersih daripada paku tersebut dengan ayahnya. Seraya ayahnya pun berkata,"Kau telah melakukannya dengan baik, anakku. Namun, cuba kau lihat kesan paku pada kayu tersebut. Walaupun tiada lagi paku di situ, namun kesannya masih jelas kelihatan di batang kayu tersebut. Apabila kau berkata sesuatu dengan perasaan marah, ia akan meninggalkan kesan sama seperti di kayu ini. Kau boleh menikam sebatang pisau pada badan seorang lelaki dan mencabutnya. Namun, tidak kira berapa banyak kau meminta maaf, luka yang tidak dapat dilihat itu akan terus ada. Memarahi seseorang secara verbal tetap sama dengan menyerang secara fizikal, malah ada ketikanya ia meninggalkan kesan yang lebih mendalam."


NILAI MURNI :
      
1. Jangan cepat marah.
2. Jaga percakapan kita. kadangkala kita tak menyangka apa yang kita cakap boleh mengguris perasaan orang lain. Sebab itulah kita dianjurkan supaya berdiam diri seandainya tiada perkara penting yang ingin dicakapkan.
3. Sayangilah dan hargailah rakan anda.
4. Jagalah perasaan orang lain seandainya kita mahukan orang lain menjaga perasaan kita  

5 AYAH,ANAK DAN SEEKOR UNTA

Kisah ini terjadi diperkampungan orang Badwi di padang pasir, di sebuah negeri Arab. Dikatakan dua beranak ini, ayah dan anaknya, ingin pergi ke pekan untuk menjual unta. Maka berjalanlah mereka berdua melalui sebuah kampung.

Selepas melintasi sekumpulan orang kampung, terdengar seorang berkata, "Eh, tengok kedua-dua orang itu! Betapa bodohnya mereka, ada unta tetapi kedua-duanya berjalan." 

Mereka terfikir benar juga kata orang itu. Lalu ayahnya berkata, "Hai anakku, kautunggangi unta ini sambil menuju ke pasar!" Lalu anaknya mengikut perintah. 

Beberapa ketika, sampailah mereka di sebuah kampung. Terdengar oleh mereka suatu percakapan, "Tengok di sana itu. Zalim sungguh anak itu, membiarkan bapanya  berjalan, sedangkan dia sedap-sedap sahaja menunggang unta." 

Mendengar kata-kata itu, maka anaknya pun memberitahu, "Hai ayahku, naiklah ke belakang unta! Biar anakanda yang berjalan pula."

Ketika melintasi suatu tempat, mereka mendengar ada orang berkata, "Alangkah zalimnya orang tua itu! Dia menunggang unta, sedangkan anaknya pula dibiarkannya berjalan kaki."
Lalu mereka berdua pun berjalan kaki.

Mereka  sampai pula di sebuah kampung, melintasi kawasan orang ramai. Lalu, terdengar suara, "Alangkah bodohnya orang itu! Ada unta berjalan kaki pula, sedangkan unta untuk ditunggangi." 

Mendengar kata-kata itu, kedua-dua mereka berfikir, memang ada betulnya.

Maka berkata ayah kepada anaknya, "Silalah naik ke belakang unta! Mudah-mudahan kita berdua tidak dikatakan bodoh oleh orang-orang yang melihat."

Mereka sedar, semua yang mereka lakukan hari itu hanyalah kerana ingin memuaskan kata-kata orang. Apa sahaja yang mereka lakukan, semuanya tidak kena mengikut pandangan orang.  

Berkatalah si ayah itu kepada anaknya, "Mulai saat ini, kita jangan mendengar kata-kata orang. Lakukan sesuatu yang kita fikir benar dan berbuatlah sesuatu mengikut apa yang kita fikirkan benar."

NILAI MURNI

      Sememangnya begitulah yang sepatutnya kita bertindak. Kita tidak perlu berbuat sesuatu kerana hanya ingin memuaskan kehendak orang lain. Kita hanya perlu mendengar nasihat orang yang tahu masalah kita. Jangan sesekali bertindak kerana ingin memuaskan hati orang lain. 
      Oleh itu, berhati-hatilah mendengar kata-kata orang.
Tidak semuanya benar dan baik untuk kita.


6 KATAK PURU DAN LEMBU

Pada suatu hari, anak katak puru pergi bersiar-siar di tepi sawah.
Anak katak terjumpa seekor lembu. Anak katak belum pernah melihat lembu. Anak katak berasa sangat takut.

"Wah, besar sungguh haiwan ini!" kata anak katak puru di dalam hatinya.
Anak katak puru terus melarikan diri. Anak katak puru segera pulang.
Anak katak puru memberitahu ibunya, "Ibu, tadi saya terjumpa seekor haiwan yang sangat besar!"

Namun, ibunya berkata dengan perasaan sombong, "Dalam dunia ini, ibulah haiwan yang paling besar.""Tetapi haiwan itu lebih besar daripada ibu," kata anak katak puru itu.

Ibunya segera menggembungkan badannya."Adakah haiwan itu sebesar ini?" tanya ibunya. "Tidak! Haiwan itu lebih besar lagi," jawab anak katak puru.
Ibunya mengembungkan lagi badannya."Adakah haiwan itu sebesar ini?" tanya ibunya lagi.


 "Tidak! Haiwan itu lebih besar lagi," ujar anak katak puru.Ibunya terus menggembungkan lagi badannya."Adakah haiwan itu sebesar ini?" ibunya bertanya lagi. Anak katak puru menjawab, "Tidak! Haiwan itu lebih besar lagi."

"Sekarang tengok! Adakah haiwan itu sebesar ini?" tanya ibunya lagi.
Ibu katak puru itu pun cuba menggembungkan badannya supaya menjadi lebih besar lagi.

Pop!Anak katak puru terkejut mendengar bunyi letupan itu.Ibu katak puru itu mati kerana cuba menggembungkan badannya supaya menjadi lebih besar. Akhirnya, badannya pecah.
Itulah akibatnya kerana sombong dan ingin membangga-banggakan diri.

NILAI MURNI :
      
Jangan sekali-kali bersikap sombong dan ingin membangga-banggakan diri. Perbuatan ini merupakan akhlak yang buruk. Perbuatan ini akan mendatangkan akibat buruk terhadap diri sendiri.



7  ARNAB DAN KAMBING

Pada suatu hari, arnab terjumpa sebuah karung guni.  Di dalam karung itu terdapat sayur-sayuran. Arnab ingin makan sayur-sayuran itu.  Kemudian datang kambing. Kambing juga mahu makan sayur-sayuran itu. Tetapi arnab tidak mahu berkongsi dengan kambing.  Arnab mendapat suatu akal.

      Arnab mengajak kambing bertanding. Pertandingan itu ialah menumbangkan tiang pagar. Kambing bersetuju. Kambing berlari kencang. Kambing terus menanduk tiang itu. 

      Prak! Tanduk kambing patah. "Aduh!" kambing menjerit kesakitan.
Tibalah pula giliran arnab.

      Arnab menggali tanah. Tiang itu tumbang menimpa kaki arnab. 

      Prak! Kaki arnab patah. "Aduh!" arnab menjerit kesakitan.

Arnab berasa menyesal kerana enggan berkongsi makanan dengan kambing. Kedua menyesal dan saling memohon maaf.  Selepas itu, Arnab dan kambing pergi ke tempat karung guni itu semula. Tetapi karung guni itu sudah tiada kerana diambil oleh tuannya.

NILAI MURNI :

Sikap tamak selalu rugi. Sebaliknya, jika bermuafakat tentulah membawa berkat.



8  Pokok Kelapa dan Rumput

 Di tepi padang, tumbuh sebatang pokok kelapa. Pokok kelapa itu sangat tinggi. Pokok kelapa itu selalu mengejek rumput. "Wahai Sang Rumput, engkau sangat pendek! Aku adalah pokok yang tinggi dan kuat." Setiap hari, rumput selalu diejek oleh  pokok kelapa. Namun, rumput berdiam diri sahaja.
      Pada suatu hari, datang ribut yang kuat. "Tolong! Tolong!" terdengar suara pokok kelapa menjerit minta tolong. Dum! Terdengar pula bunyi yang sangat kuat. Pokok kelapa itu tumbang. Rumput pun berkata, "Wahai Sang Kelapa, walaupun aku pendek, tetapi ribut tidak dapat menumbangkan diriku!"
    Pokok kelapa berasa malu. Pokok kelapa sangat menyesal kerana pernah mengejek rumput. Akhirnya, matilah pokok kelapa itu.

NILAI MURNI :

 Kita tidak boleh memandang hina pada orang miskin dan lemah. Setiap orang mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

4 comments: