HARIMAU GUNUNG LEDANG
Pada suatu masa, Gunung Ledang terlalu banyak didiami oleh harimau. Ketika harimau gunung itu turun, banyaklah binatang ternakan dibahamnya.
Pada suatu hari, harimau itu turun beramai-ramai dari gunung itu. Sekawan kerbau yang dijaga oleh seorang budak habis dibaham oleh mereka. Orang kaya tuan punya kerbau itu sangat marah.
“Kamu lalai dan tidak menjaga kerbau aku. Kamu mesti ganti semua kerbau yang telah dibaham itu,” kata orang kaya itu dengan marah.
Budak itu sangat susah hati. Sudahlah hidupnya tidak ada tempat berlindung, kini malang pula menimpa. Dia bermenung dibawah sepohon pokok.
“Jangan susah hati. Ambil getah ini dan sapukan kepada mulut harimau itu nanti,” kata seorang tua yang menjelma tiba-tiba.
Budak itu bertekad. Harimau dari gunung itu mesti diajar. Dia mengambil upah menjaga sekawan kerbau kepunyaan seorang kaya yang lain. Sampai ketikanya, seekor harimau yang besar datang. Budak itu dengan berani pergi kepada harimau itu.
“Kamu pencuri bedebah mesti diajar!” kata budak itu dengan berani. Harimau yang besar itu tergamam. Dia memikirkan budak itu lebih kuat daripadanya.
Budak itu menyapukan getah pada mulut harimau. Apabila getah itu kering, harimau tidak boleh membuka mulutnya. Kuku harimau itu juga disapu getah. Ia tidak dapat mengeluarkan kukunya.
Budak itu juga mengikat kaki harimau. Apabila getah itu kering, harimau tidak boleh membuka mulutnya. Kuku harimau itu juga disapu getah. Ia tidak dapat mengeluarkan kukunya.
Budak itu juga mengikat kaki harimau. Hari telah malam, dia memanggil semua orang kampung datang. Orang kampung sangat hairan melihat keberanian budak itu.
Budak itu berkata kepada harimau yang sudah terbaring tidak bergerak, “Mulai malam ini, kamu jangan ambil binatang peliharaan orang kampung.”
Harimau itu dibiarkan di situ sehingga tengah hari esoknya. Apabila matahari memancar, getah itu pun cair. Harimau melarikan diri kerana ketakutan. Sejak itu tiada lagi harimau datang membaham binatang ternakan di kawasan itu.
Pengajaran :
1. Jangan menganiaya orang lain.
2. Usaha tangga kejayaan.
3. Jangan mudah putus asa.
Kononnya, disebuah negeri, raja dan sekalian rakyatnya malu untuk bercakap kerana mulut mereka tetap berbau busuk.
“Apakah wabak yang menyerang negeri ini?” tanya raja.
Apabila raja dihadap oleh pembesar dan rakyatnya, semuanya diam membisu. Mereka takut hendak bercakap kerana mulut mereka berbau busuk.
Pada suatu hari, di dalam taman larangan, puteri raja bersama dayang-dayangnya keluar bermain-main. Mereka juga diam tidak bercakap. Mulut mereka semuanya berbau busuk. Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon bunga. Murai itu berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah sedang bercakap dengan tuan puteri. Puteri raja tetap membisu.
Murai itu berkicau lagi dan mematuk-matuk bunga yang ada di dahan tempat ia berpijak.
Akhirnya puteri raja pergi ke pokok bunga itu. Bunga kecil itu diambil dan dimakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya bau busuk di mulutnya hilang. Mulutnya berbau wangi pula. Sejak hari itu, puteri raja seorang sahajalah yang tidak malu bercakap-cakap.
Raja pun bertanya akan rahsia puteri baginda itu. Perihal pokok bunga itu pun diceritakan oleh puteri baginda. Sejak itu, baginda memerintahkan rakyatnya menanam dan memakan bunga pokok itu.
Sejak itulah juga penyakit mulut berbau itu hilang. Semua rakyat terlalu gembira. Mereka boleh berkata-kata dan tidaklah diam lagi.
Raja memerintahkan rakyat menanam pokok itu. Akhirnya bunga itu menjadi hasil negeri. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih.
Pengajaran :
1. Jangan takut mencuba perkara baru.
2. Fikir selalu keajaiban ciptaan tuhan.
3. Komunikasi amat penting dalam perhubungan.
Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman Puteh dan Aripin Said. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.